Selasa, 11 Ogos 2009

Pink Blink-Blink di Persidangan Puteri

          Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Pasir Gudang telah selamat dijalankan pada 8 Ogos 2009 / Sabtu di TS Hotel Taman Scientex jam 2 petang. Persidangan telah dirasmikan oleh Pn Farahah Ismail, Ketua Puteri UMNO Negeri Johor merangkap Ketua Puteri UMNO Mersing.  Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO, Datuk Hj Ibrahim Hj Ghafar, Setiausaha Bahagian, Tn Hj Sehabudin Mat Ali, Naib Ketua Pemuda, En Roslan Hassan, Pemerhati Bahagian, En Ishak Yaakub, En AzmanJaafar En Rosman dan ketua-ketua UMNO di cawangan sekitar.  
          YM Pn Raja Norasyikin Hj Raja Ali dalam ucapan aluannya telah menzahirkan penghargaan kepada 29 Puteri UMNO Cawangan daripada 30 cawangan yang telah bersidang bagi tahun 2009. Yang mana 2 cawangan baru telah ditubuhkan pada tahun 2008 dan 2 cawangan baru ditubuhkan pada 2009. Beliau berharap program-program yang dijalankan oleh Puteri UMNO Bahagian melalui biro-biro adalah untuk menguatkan lagi jati diri pada setiap ahli puteri dan menarik minat generasi wanita muda Pasir Gudang untuk cenderung menyokong UMNO. Sebagai menyuntik semangat dan mengaktifkan puteri di cawangan, Puteri UMNO Bahagian telah menyumbangkan set Bola Jaring berupa bola, bip dan wisel kepada setiap Puteri UMNO Cawangan di Pasir Gudang
           Datuk Hj Ibrahim Hj Ghafar, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang dalam ucapannya pula menyifatkan kekuatan perpaduan dikalangan Puteri UMNO Pasir Gudang sebagai benteng utama UMNO Pasir Gudang dalam menghadapi Pilihanraya ke 13. Beliau mencadangkan penubuhan NGO dibawah Puteri UMNO bagi mengiatkan lagi aktiviti kerjasama dengan kementerian-kementerian lain.
           Sementara Pn Farahah Ismail dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Puteri UMNO Pasir Gudang yang telah berjaya menggalas tanggungjawab sebagai sayap paling bongsu UMNO. Dan berharap kemantapan waja diri setiap puteri dapat diserap dan persediaan untuk menarik kembali kecenderungan generasi muda untuk berpaksi pada UMNO pada pilihanraya yang mendatang. Bagi pihak Puteri UMNO Negeri dan Pusat akan sentiasa membantu Puteri UMNO Bahagian bagi memastikan UMNO terus releven.
           Bagi pihak Puteri UMNO Bahagian merakamkan terima kasih kepada Pn Farahah Ismail serta rombongan Puteri dari Mersing dan Penyelaras Badan Perhubungan UMNO Negeri dari Puteri UMNO Parit Sulong yang begitu komited menjalankan tugas. Semoga ukhwah terjalin sentiasa mengeratkan antara satu sama lain.


 
Dewan TS Hotel dilimpahi warna merah jambu


Tiada ulasan: