Khamis, 25 Februari 2010

Takziah: Ketua Puteri Ampang meninggal akibat sakit jantung


KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno Bahagian Ampang, Haslinda Mohd Zerain, 37, meninggal dunia di kediamannya di Taman Sri Ukay di sini, semalam kerana sakit jantung.
Haslinda, yang masih bujang, menghembuskan nafas terakhir di ruang tamu rumahnya jam 11.35 pagi dan hanya disedari ibunya Datin Rahimah Abdullah beberapa minit kemudian ketika mahu mengejutkannya kerana menjangka beliau tertidur di sofa.
Adik lelaki Allahyarham, Mohd Afdan, 33, berkata kakaknya dimasukkan ke Institut Jantung Negara selama sebulan bagi menjalani rawatan sebelum dibenarkan pulang tiga minggu lalu.

“Sakitnya dikesan lima tahun lalu, namun sejak tiga minggu lalu, beliau dibenarkan pulang ke rumah dan tahap kesihatannya semakin teruk sejak dua minggu lalu,” katanya.

Bapa Allahyarham, Datuk Dr Zerain Abdul Majid, 60, berkata Haslinda yang juga anak sulung dari tiga beradik, banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga sejak tahap kesihatannya merosot.

“Sejak tiga minggu lalu, Haslinda tidak keluar rumah dan tidak mahu berenggang dengan saya dan isteri,” katanya, sambil menyifatkan Haslinda seorang yang sangat periang dan aktif.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Kelang sebelum solat Asar, semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang ditemui ketika menziarahi jenazah menyifatkan pemergian Haslinda sebagai satu kehilangan besar kepada parti.

Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, menyifatkan Allahyarham seorang yang sangat aktif, rajin serta komited ketika menjalankan tugas.

Ketua Umno Ampang, Datuk Ismail Kijo pula berkata, Umno dan Puteri Umno Ampang khususnya kehilangan seorang pemimpin berpotensi kerana Haslinda adalah pencetus idea penubuhan Puteri Umno di Ampang selain sangat berjasa kepada parti.

Tiada ulasan: