Isnin, 14 September 2009

Berubah vs Berpendirian

Puteri dilahirkan dengan kalbu Prihatin pada masyarakat dan rakyat. Siapa tak tercela dengan hakisan empayar UMNO. Namun kami biarkan mereka yang pakar untuk bercakap, mereka yang bijaksana untuk memutuskan dan mereka pintar untuk menganalisa. Sementara kami bertungkus memasyarakatkan UMNO dan melaksanakan rumusan.

Menyemai benih perjuangan pada generasi muda dalam zon selesa bukan perkara yang mudah. Berbeza dengan generasi pra merdeka. Persamaan memperjuangkan kemerdekaan menyatukan hati mereka. Atas kesepakatan ini toleransi kaum menjadi tinggi. Tapi di zaman kini, dengan fahaman parti pembangkang mendesak pada kesamarataan menjadi rebutan khalayak. Selagi ideologi memihak diri, ideologi itulah yang disertai.


Maka kamilah Puteri yang kembali ke ladang. Memastikan generasi yang mendatang siap siaga. Kefahaman politik kesedaran beragama. Membaja semangat juangkan ketuanan.
Dan kami memilih maya tanpa sempadan sebagai ladangnya. Semoga tidak membuatkan kita kehilangan kejernihan jiwa...berkira-kira kalau ianya menzalimi diri sendiri membuat tulisan yang bisa meluaskan perbalahan yang sedia ada. Kami cuma mahu memasakkan juang jiwa  agar berada pada medium yang hak dalam melempiaskan pandangan terbatas.

Kerana itu, kami tidak dikedai kopi. Apatah lagi ruang politik wang.  Sama sibuk ayam berkokok, sama tebal asap rokok. Kos pentadbiran perlu dipandang sebagai perlaburan. Kalau bukan kami yang turun ke bendang, mana mungkin tuan mendapat galang ganti dalam pentadbiran.


Sedangkan pancing seberang berumpan 'hak rakyat', sedang kita menjoran 'tanggungjawab rakyat". Namun usaha kami membentuk masyarakat berjiwa nasionalisme dengan mengenepikan kepentingan individu dan menempatkan kedaulatan mendahului kehendak diri. Itulah survival namanya.

Namun, lebih perit bila bila kita sesama kita pula berbalah. Perumpamaan 'lembu dicucuk hidung, setahun jagung, disalahpakai untuk kami yang patuh pada kepimpinan. Sementara mereka yang melaung didewan, meraung di laman maya dengan mencela kepimpinan atasan disarungkan bunga malai sebagai pejuang. Yang bakal ditangguk oleh akar umbi adalah kecelaruan.Bila terlalu banyak infomasi yang tidak selaras, keliru hadir dengan goyah pendirian.

Bukan sejengkal jati diri perlu ada pada kami, bukan calang waja diri perlu disemai pada rakan puteri dan generasi wanita muda. Dan kami yakin sekali kami dicantas, sepuluh cabang akan bertunas. 
Nurkilan,
Normah Kassim
NKP

Tiada ulasan: