Selasa, 8 September 2009

Puteri Menyemarak Cahaya Lebaran

          Program Cahaya Lebaran anjuran Biro Kebajikan Puteri UMNO Bahagian Pasir Gudang telah selamat dijayakan pada 5 September 2009 bersama pelajar Kolej Komuniti Pasir Gudang.
Program khidmat masyarakat ini dianjurkan sebagai keprihatinan generasi wanita muda membantu golongan yang kurang berkemampuan secara lebih dekat. Sebuah rumah pasangan warga emas Tn Hj Basar Mersin dan Mak Nah Kampung Plentong Baru dijadikan tempat program dilaksanakan. Seramai 30 orang sukarelawati telah menyalurkan tenaga bagi program ini.
          Ketua Puteri UMNO Pasir Gudang, YM Pn Raja Norasyikin Hj Raja Ali selaku penaja utama telah memberi taklimat dan membuat pembahagian tugas seperti mengecat, membersihkan kawasan luar, menghias laman, menyusun atur bahagian dalam rumah, mengantung langsir dan memasak bubur lambuk seawal jam 2 petang.
          Peralatan mengecat dan hiasan telah disumbangkan oleh Akid Idraki dan RN Genuine. Sementara langsir, tikar getah, bubur lambuk dan juadah berbuka disumbangkan oleh AJK Puteri UMNO Pasir Gudang dan Biro Kebajikan UMNO Bahagian. En Salleh selaku Ketua UMNO cawangan juga ada membuat kunjungan dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan.
Pada jam 5 petang, Pengerusi Program yang merupakan Pengerusi Biro Kebajikan Puteri, Pn Faridah Mamat dan Naib Ketua Puteri, Pn Normah Kassim bersama pelajar Kolej Komuniti PG telah ke 10 buah rumah untuk menyampaikan keperluan dapur kepada warga emas, ibu tunggal, keluarga susah di cawangan Jalan Jasa dan Kampung Plentong hasil sumbangan pekerja Islam syarikat korparat dan Zubir Food Industri.
          Sebanyak 2 periuk bubur lambuk yang sedia dimasak telah diagihkan kepada jiran terdekat dan orang kampung yang melalui kawasan tersebut. Secara tidak langsung, penduduk setempat juga dapat merasai keberadaan program tersebut.
          Ketua Puteri telah merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua peserta dan kesudian tuan rumah menerima kunjungan sebelum jamuan berbuka puasa. Dan selaku tuan rumah Tn Hj Basar merakam penghargaan dan memimpin bacaan doa selamat sebelum berbuka. Program diakhiri dengan sesi bergambar diluar rumah yang dihiasi dengan pelita. Semoga lebaran kali ini memberi sinaran baru kepada kedua pasangan warga emas ini.

Tiada ulasan: