Rabu, 21 Oktober 2009

Dasar ganti PPSMI 2011

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata pelaksanaan lebih awal MBMMBI bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bergantung kepada beberapa faktor.

Antaranya, bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelaksanaan MBMMBI untuk murid Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat pula bermula 2012 untuk membolehkan kementerian membuat persiapan rapi dengan mengambil kira semua keperluan pengajaran dan pembelajaran. Beliau turut menegaskan walaupun terdapat rayuan dan desakan supaya PPSMI diteruskan, kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan pihak berkenaan.

"Sebaliknya, pandangan yang disuarakan diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan dasar baru," katanya menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sidang Dewan Rakyat, semalam.
Mohd Nor ingin mendapatkan penjelasan mengenai rasional kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata kementerian menetapkan 2012 sebagai tahun pelaksanaan dasar baru itu bagi mengelak masalah seperti yang terjadi kepada PPSMI.

"Tujuan kita untuk dilaksanakan pada 2012 ialah untuk membuat persiapan penting kerana pengalaman waktu kita melaksanakan PPSMI dulu, tempoh untuk pihak kementerian buat persiapan ialah enam bulan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PPSMI sejak 2003 membabitkan kos sebanyak RM5 bilion meliputi penyediaan peralatan dan latihan guru.
"Bagi pelaksanaan dasar MBMMBI, kementerian akan memohon peruntukan yang secukupnya untuk menjayakan dasar itu, di samping mengguna pakai kemudahan sedia ada," katanya.

Muhyiddin berkata, dalam pelaksanaan MBMMBI, kementerian memerlukan 13,000 guru tambahan untuk ditempatkan di seluruh negara dan mulai tahun depan, pengambilan 1,000 guru bahasa Inggeris akan dibuat.

Tiada ulasan: