Khamis, 3 Jun 2010

Kabinet bentang usul kecam keganasan Zionis - dipetik dari Berita Harian

PUTRAJAYA: Kabinet semalam memutuskan untuk membentangkan satu usul di Dewan Rakyat bagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan pasukan keselamatan Israel menyerang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan di sini, semalam berkata, usul itu dibentangkan pada Isnin ini.

Katanya, ia adalah susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin yang menyatakan Malaysia akan mengusulkan pencabulan dan keganasan dilakukan Israel itu dibawa ke sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Dalam kejadian itu, sembilan dilaporkan mati dan berpuluh lain cedera apabila komando Israel menyerang kapal Mavi Marmara ketika di perairan antarabangsa, di luar pantai Gaza.

Bagaimanapun, 12 rakyat Malaysia termasuk sembilan sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza (LL4G) dan dua krew televisyen Astro Awani berada dalam kapal itu kini dibebaskan, semalam.  

Sementara itu, pada sidang media selepas tinjauan mesra di Taman Sea Park, Petaling Jaya, Najib berkata, beliau akan membentangkan usul berkenaan bagi mewakili 28 juta rakyat Malaysia menyatakan pendirian menentang keganasan Zionis.
“Kita akan membuat usul khas, usul kerajaan menentang pencabulan hak asasi dan keganasan yang tidak berperikemanusiaan Israel terhadap konvoi kemanusiaan. Ini keputusan Kabinet dan saya akan membawa usul itu Isnin ini,” katanya.

Tiada ulasan: