Isnin, 11 Januari 2010

1 MALAYSIA.......

Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan konsep 1 Malaysia (bukan One Malaysia) , banyak pihak terkena sindrom seperti yang berlaku semasa Tun Mahathir melancarkan Wawasan 2020. Semua orang seboleh-boleh mahu mengaitkan dengan Wawasan 2020 walaupun mereka tidak faham konsep itu.

Ini berlaku lagi kepada 1 Malaysia, sehinggakan semua perkara mesti ada disebut “satu” atau “one” salah satunya 1 Belia. Ini apa kejadah ni? Biar 1 Malaysia saja cukuplah.

Apa itu 1 Malaysia? Salah satu tentulah perpaduan dan 1 Malaysia bererti 1 sekolah, tidak seperti sekarang Cina ada sekolah mereka sendiri dan India pun ada sekolah mereka sendiri. Melayu tidak ada sekolah sebab orang Melayu sanggup “berkorban apa saja”. Selepas berkorban apa saja mulalah UMNO merayu kepada orang Melayu , “jangan tinggal daku” ketika Melayu memilih pembangkang.

Maka 1 Malaysia yang sebenarnya adalah satu sekolah yakni sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan bukan sekolah orang Melayu. Ini sekolah untuk semua rakyat Malaysia.

Kalau di peringkat kanak-kanak sekolah rendah semua kaum saling berinteraksi kemudian masuk sekolah menengah mereka lebih akrab lagi, semua kaum akan lebih memahami antara satu dengan lain. Sekarang sejak kecil sudah ada fragmentation dan perpaduan menjadi begitu retorik sekali.

1 Malaysia juga berhubung dengan satu bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu. Bahasa Inggeris adalah bahasa kedua. Tetapi apabila pengantar sekolah Cina menggunakan bahasa Cina dan sekolah India menggunakan pengantar bahasa Tamil, tidak akan ada perpaduan dari aspek bahasa sampai bila-bila.

1 Malaysia juga bermaksud semua menteri-menteri dan pegawai kerajaan mesti bercakap dalam bahasa Melayu di majlis-majlis rasmi. Takkan tidak boleh cakap Melayu boleh jadi menteri?

1 Malaysia bermaksud satu negara, satu bahasa dan satu sekolah. Kalau ini tidak boleh dilaksanakan berhentilah cakap fasal 1 Malaysia seperti semua orang sudah tidak bercakap lagi fasal Islam Hadhari dan Wawasan 2020. Demikianlah hipokritnya kita.

Tiada ulasan: