Isnin, 4 Januari 2010

Segera buat rayuan terhadap keputusan mahkamah

Puteri UMNO menggesa pihak bertanggungjawab supaya segera merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ia perlu dilakukan bagi mengelakkan insiden-insiden yang boleh mengguris hati dan perasaan umat Islam berulang.

"Kita memang sedih dengan apa yang berlaku. Ini membuktikan bahawa begitu mudah agama dan nama tuhan kita diperlekeh dan dipermainkan oleh pihak tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kembali Ke Sekolah (Back To School) anjuran Puteri UMNO.

Rosnah diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi itu yang dibuat berdasarkan alasan Gereja Katholik selaku pemohon mempunyai hak berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata, lebih banyak insiden sedemikian dikhuatiri akan berlaku sekiranya tiada sebarang tindakan untuk mempertahankan Islam dilakukan.

"Selepas ini mungkin pihak lain pula yang akan mencetuskan insiden yang mampu mencabul agama Islam itu sendiri jika tiada tindakan dibuat," katanya.

Menurutnya, Puteri UMNO juga akan mengkaji dan melihat usaha-usaha yang boleh diambil bagi membantu mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut.

Sumber dari Utusan Malaysia.

Tiada ulasan: