Isnin, 4 Januari 2010

 JOHOR BAHRU – Seramai 165 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan peralatan sekolah bernilai RM11,550 sempena program Kembali Ke Sekolah di sini.

Bantuan itu adalah sumbangan Puteri UMNO Bahagian Johor Bahru dengan kerjasama Ahli Parlimen Johor Bahru dan Care United Club Johor Bahru.

Naib Ketua Puteri UMNO Johor Bahru, Zamzahlina Zakaria berkata, sumbangan bernilai RM70 bagi setiap pelajar itu adalah berupa peralatan sekolah termasuk pakaian, kasut dan beg.

Katanya, pihaknya amat prihatin dengan beban kewangan golongan kurang berkemampuan dalam membuat persiapan sekolah untuk anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan esok.

‘‘Kita berharap program ini dijadikan sebagai program tahunan dalam memastikan persekolahan para pelajar yang kurang berkemampuan berjalan lancar,” katanya pada pemberita selepas majlis pelancaran di pasar raya Giant, Taman Suria di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Adam Sumiru.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Permas Jaya 2, Mohd. Shaqif Baharudin, 13, berkata, sumbangan seumpama itu memberi pendorong untuknya untuk belajar dengan lebih tekun.

‘‘Saya ingat nak guna saja barangan lama yang masih boleh dipakai, tapi bila dapat sumbangan seumpama ini saya amat bersyukur,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Ahmad Salam Ibrahim, 42, yang bekerja sambilan di pejabat pertanian daerah berkata, sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya.

Kata beliau, dia yang hanya bergaji sebanyak RM800 sebulan tidak mampu menyediakan persiapan sekolah yang serba baru untuk empat anaknya yang masih bersekolah.

Sumber dari Utusan Malaysia.

Tiada ulasan: